The Grand Parade adalah satu perarakan
raksasa yang diaturkan oleh Dajjal The False Messiah untuk
mengisytiharkan dirinya sebagai Tuhan. Allah SWT mencatatkan kisah Ashabul
Kahfi yang peristiwanya persis perarakan raksasa yang diaturkan oleh
Dajjal. Maklumat ini saya titipkan di dalam satu kitab lama tulisan Almarhum
Sheikh Uthman Jalaludin bertajuk Alamat Kiamat terjemahan dari kitab Arab
beliau berjudul Ad-Durrah an-Nafi'ah fi Asyrath as-Sa'ah.{1} Perhimpunan ini disebut oleh Sheikh Jalaluddin di
mana pengikut Dajjal akan menyongsong kedatangannya dengan memukul-mukul
gendang di dalam satu perarakan yang besar. Inilah gambaran sebuah perhimpunan
agung yang disusun atur dengan teliti oleh Dajjal.
Tindakan Dajjal mengumpulkan seluruh
manusia di dalam satu perhimpunan raksasa dan mengisytiharkan dirinya sebagai
Tuhan menyamai insiden majlis perhimpunan Raja Diqyanus yang zalim dan bongkak.
Dua peritiwa yang berlaku dengan jarak tahun yang amat jauh tetapi mempunyai
persamaan yang nyata.
Di dalam riwayat kitab kisah anbiya dan Asbabun
Nuzul, disebut nama bagi sekelompok orang yang beriman yang hidup beberapa
ratus tahun sebelum diutusnya Nabi Isa as. Bahawa kisah itu terjadi di negeri
Romawi, di sebuah kota bernama Aphesus (Ephese). Setelah Islam datang, kota itu
berubah nama Tharsus (Tarse) sekarang terletak di dalam wilayah Turki. Penduduk
negeri itu dahulunya mempunyai seorang raja yang baik. Setelah raja itu meniggal
dunia, berita kematiannya didengari oleh seorang Raja Persia bernama Diqyanus.
Diqyanus adalah seorang raja yang kafir dan amat bongkak serta zalim. Dia
datang menyerbu negeri itu dengan kekuatan pasukannya dan akhirnya berjaya
menguasai kota Aphesus. Olehnya, kota itu dijadikan, ibu kota kerajaan lalu
dibina sebuah istana yang agam.
Raja Diqyanus kekal berkuasa selama 30 tahun tanpa
dapat digugat. Selama itu juga dia tidak pernah diserang sebarang penyakit
hatta pening kepala, sakit perut mahupun demam. Oleh kerana Diqyanus merasakan
dirinya sedemikian kuat dan sihat, kesombongannya mula membuak ; kehairanannya
sama seperti apa yang dirasa oleh Namrud. Sehingga dia berani mengaku dirinya
sebagai 'tuhan' dan dia menafikan kewujudan Tuhan Yang Maha Esa yang mencipta
seluruh langit dan bumi.
Bermula dari saat itu, Diqyanus memanggil seluruh
rakyat dan pembesar negara. Diatur satu perhimpunan raksasa dengan diiringi
paluan gendang, tarian dan hiburan - ia umpama pesta. Seluruh rakyat diseru
keluar menuju ke tempat perayaan tanpa kecuali di dalam satu perarakan raksasa
yang maha hebat.
Di dalam perhimpunan ini, Raja Diqyanus memakai gelaran tuhan dengan rasminya. Dia memaksa seluruh penduduk kota menyembahnya disamping berhala-berhala lain yang diciptanya. Pesta pada hari itu tidak hanya diiringi dengan bunyi-bunyian bahkan dipersembahkan binatang korban untuk berhala-berhala tersebut{2}
Perhatikan
hadith di bawah ini. Ia seperti menceritakan mengenai insiden ini. Manusia
seolah-olah terpukau dan mahu menyertai perhimpunan yang diaturkan oleh Dajjal ;
"Tempat berhentinya
(berkumpulnya) Dajjal di tanah berair. Kaum yang paling banyak menyertainya
adalah wanita sehingga seorang lelaki kembali kepada isterinya, ibunya,
anak perempuannya dan ibu saudaranya, lalu mereka mengikat mereka dengan tali
kerana takut mereka akan keluar mengikuti Dajjal..."{3}
Inilah percubaan kemuncak Dajjal yang mahu menipu
manusia. kemuncak fitnah ini turut menyamai Namrud dan Firaun yang
mengisytiharkan diri mereka sebagai Tuhan di hadapan manusia di dalam
perhimpunan besar dan perdana.
Hadith dari Ummu Syarik, berkata :
Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda; "Sungguh
manusia akan berlari dari dajjal ke gunung-gunung." (Riwayat Imam Muslim
dari Ummu Syarik)
Inilah peristiwa yang amat penting untuk
disingkapkan menjelang kedatangan Dajjal dan kita temui semua persamaan ini di
dalam Surah al-Kahfi ayat 9 ~ 16.
Situasi getir ini akan berlaku apabila Dajjal
mengisytiharkan dirinya sebagai tuhan. Setelah berlaku beberapa fasa penipuan
dan setelah semakin ramai manusia mengikutinya, maka Dajjal memanggil satu
perhimpunan agung (The Grand Parade). Dipanggilnya semua manusia
untuk datang dan diseru kehadiran manusia seolah-olah suara itu datang dari
langit. Perhimpunan ini dihadiri oleh dua malaikat (di dalam riwayat lain
mengatakan dua orang nabi) di kiri dan kanannya untuk mempersaksikan pengakuan
palsunya.
Di dalam perhimpunan inilah Dajjal akan menunjukkan
kesaktiannya yang di luar kemampuan batas pemikiran manusia. Dia akan
menzahirkan alam neraka dengan api yang menjulang tinggi dan syurga yang penuh
dengan kenikmatan. manusia dipaksa membuat pilihan. Ketika ada yang takjub
dengan maka dia akan berseru bahawa dialah tuhan manusia. Terjadi dialog yang
diubahreka dengan kedua-dua malaikat itu. Malaikat itu seolah-olah mengaku dia
adalah tuhan.
"...Dan keluarlah dua lembah bersama Dajjal, salah satunya adalah
lembah syurga dan satu yang lain adalah lembah neraka. Kemudian dia berkata
kepada manusia: 'Bukankah aku ini tuhan kalian yang dapat menghidupkan dan
mematikan manusia?' Dia bersama dua orang nabi (di dalam riwayat Tarmizi
mengatakan malaikat) di mana aku tahu namanya dan nama bapanya. Jika aku ingin,
maka aku akan menyebut nama kedua-duanya. salah satu dari keduanya berada di
sebelah kanan dan kirinya. Kemudian Dajjal bertanya:'Bukankah aku ini tuhan
kalian yang dapat menghidup dan mematikan?' Salah seorang dari keduanya
berkata: 'Kamu dusta.' tetapi jawapan itu tidak didengari oleh sesiapa selain
rakannya yang disebelahnya. Maka lantas dia menjawap: 'Kamu benar.' Dan jawapan
itu didengari oleh semua manusia."
Manusia mula mempersoal diri sendiri. Hati manusia
yang hadir pada perhimpunan itu mula berbolak-balik. jeritan dan tangisan mula
kedengaran. Dalam keadaan cemas itulah Dajjal mengisytiharkan dia adalah tuhan
manusia. Maka ketika inilah tersingkap wajahnya yang sebenar; segala pesona
penyamaran wajah manusia kacak seperti seorang penyelamat pudar. Yang terjelma
adalah wajah hodoh dengan mata kiri yang berselaput (buta sebelah mata),
bertubuh besar dan tertulis perkataan 'qaf-fa-ra' di antara kedua
keningnya. Ia jelas dapat dilihat oleh orang mukmin yang ramai walaupun yang
tidak tahu membaca.{4}
Malangnya ketika itu manusia tidak memikirkan
keburukan bentuk rupa Dajjal. Manusia hanya memikirkan nasib mereka, apakah
mahu masuk ke dalam syurga Dajjal (sebenarnya Neraka) atau jurang nerakanya
(sebenarnya Syurga) dengan nyalaan apinya yang menjulang tinggi. Pada masa itu,
keadaan menjadi hura-hara. Bapa menarik anak dan suami menarik isteri. Masing-masing
mahu lari menyelamatkan diri antara fitnah Dajjal atau neraka ciptaannya.
Nabi Muhammad SAW berpesan :
"Sesungguhnya
aku lebih tahu tentang apa yang dibawa oleh Dajjal. Dia membawa dua sungai yang
mengalir. Salah satu daripadanya mata akan melihat sebagai air putih dan yang
lainnya akan melihatnya sebagai api yang menyala-nyala. Jika kamu menemuinya,
hendaklah mendatangi sungai yang dilihat sebagai api dan hendaklah memejamkan
mata kemudian menundukkan kepala serta minum daripadanya kerana ia adalah air
yang segar." (Riwayat Ahmad di dalam Al-Musnad dari Huzaifah)
Ada yang tidak tahan melihat
jurang api yang dalam lantas melutut di hadapan Dajjal mohon diselamatkan dari
azab yang mengerikan itu. Maka mereka yang kukuh imamnya dan yang sudah 'ihsan'
hatinya dengan Allah SWT lari menjauhi perhimpunan itu seperti tujuh pemuda
Ashabul Kahfi yang meninggalkan perhimpunan Raja Diqyanus.
"Dan tatkala kalian meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah
selain Allah, maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu, nescaya Tuhan
kalian akan melimpahkan sebahagian rahmat-Nya kepada kalian dan menyediakan
sesuatu yang berguna bagi kalian dalam urusan kalian." (Surah al-Kahfi;
16)
Persoalan samada Dajjal akan muncul sebagai penyelamat
palsu - Imam Ke-12 Syiah yang kini semakin mendapat sokongan majoriti
umat Islam sedunia ada juga kebenarannya. Dajjal yang menyamar sebagai
penyelamat kepada umat Islam (kini Iran dianggap wira negara Islam)
berjaya mengajak pengikutnya berkumpul di The Grand Parade
untuk mengisytiharkan dirinya sebagai tuhan manusia kerana pada ketika itu
mereka telah terpedaya dengan penyamaran Dajjal.
Muhammad Nurani Maarif, dalam bukunya bertajuk
Membongkar Misteri Dajjal, secara terperinci menghuraikan bagaimana munculnya
seorang individu misteri dalam setiap tamadun purba yang telah membuatkan
dirinya dianggap sebagai Tuhan/Dewa dan kemudian menghilangkan diri selain
berjanji akan kembali di akhir zaman sebagai penyelamat.{5} Hal
ini hampir sama dengan kisah Imam Ke-12 Syiah yang dikatakan telah hilang dalam
sebuah gua - dan dipercayai akan kembali semula di akhir zaman.
Perarakan
yang berlaku di Bahrain misalnya didakwa oleh Sheikh Yusuf al-Qaradawi tidak
lebih hanya satu revolusi mazhab.
"Tidak ada revolusi rakyat di Bahrain, melainkan
(revolusi) mazhab," kata al-Qaradawi, sebagaimana dipetik Al-Arabiya
(19/3). Menurut Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia itu, wujudnya campur tangan
asing di sebahagian puak yang ada, sehingga tuntutannya tidak lagi murni dari
rakyat Bahrain. Puak yang ingin menggulingkan puak lain hanya mengutamakan
kepentingannya sendiri.
"Revolusi di negara Arab lain ada kesamaan di mana yang
tertindas melawan pihak penindas. Sedangkan di Bahrain berunsur kemazhaban, di
mana Syiah melawan Sunni". Menurutnya lagi, revolusi Mesir melibatkan
rakyat dengan latar belakang berbeza seperti Muslim, Kristian, tua, muda,
sekular, agama, seperti halnya di Tunisia, Yaman dan Libya. Tetapi tidak di
Bahrain yang hanya melibatkan puak Syiah.
Demonstrasi yang dilakukan kumpulan Syiah Bahrain juga bukan
secara 'damai' tetapi bersenjata. "Kumpulan Syiah menyerang kumpulan Sunni
dan mengambil alih masjid-masjid mereka dengan menggunakan senjata seperti
halnya golongan baltajiyyah (samseng) yang kita saksikan di Yaman dan
Mesir," jelas Sheikh Yusuf al-Qaradawi.
1 ulasan:
terbaik...cerita yg amat menarik...
Catat Ulasan